M.V
Pulau Kidjang adalah kapal pengangkutan utama di Sarawak sekitar tahun 70-an
dulu selain M.V Rajah Mas yg berulang-alik dari Kuching-Sarikei-Sibu pada ketika
itu. M.V Pulau Kidjang yg bernilai RM320,000 ini dibeli dari Indonesia dan
telah berkhidmat untuk penduduk selama 8 tahun sebelum karam di muara Rejang
pada 1973.
Tragedi menyayat hati itu berlaku pada 27 Disember 1973. Kapal yang membawa penumpang seramai 159 orang tersebut, yang kebanyakannya dalam perjalanan pulang ke Sibu selepas bercuti sempena perayaan Krismas. Kapal tersebut bertolak dari Kuching pada 26 Disember, jam 6.30 petang, lewat 30 minit daripada yg dijadualkan.
Walau
bagaimanapun, ia karam di perairan Tanjung Jerijeh, sekitar 3.5 batu nautika
dari Barat Sarikei. Di situlah kubur tanpa nisan 80 penumpang M.V.Pulau Kidjang
yang gagal menyelamatkan diri apabila kapal itu terbalik setelah dipukul ombak
yang kuat sebelum melanggar beting pasir di Tanjung Jerijeh kira-kira jam 3
pagi. Tragedi malang ini mendapat publisiti meluas di dada akhbar terutamanya
akhbar Inggeris tempatan ketika itu, The Vanguard bertarikh 28 Disember 1973.
Kejadian jam 3.00 pagi tersebut telah mengorbankan 121 nyawa. Hanya 41 mayat yg ditemui manakala selebihnya hilang kerana tidak dapat dikesan. 38 orang terselamat termasuk 18 orang kelasi. Kebanyakkan mangsa mati akibat terperangkap di dalam kapal, ada yang lemas dibaham ombak ganas musim tengkujuh kerana terjun ke laut tanpa jaket keselamatan. Tuah menyebelahi sesetengah penumpang yg terdampar di pantai Kampung Gerigat apabila M.V Hornbill yg dalam perjalanan dari pekan Selalang menemui mereka. Peristiwa tersebut telah menjadi sejarah hitam dan igauan ngeri bagi mangsa-mangsa yg terselamat.
Peristiwa ini turut meninggalkan kesan kepada penduduk Sarikei apabila kebanyakkan penduduk disana tidak memakan ikan selama berbulan-bulan disebabkan terbayang mayat-mayat mangsa yg dimakan hidupan laut. Ada kes dimana penduduk menemui cincin, jam tangan butang baju, serta jari didalam perut ikan yg ditangkap.
Jika hari ini kita bertanya kepada anak-anak muda, tidak ramai yang mengetahui sejarah maritim negeri Sarawak ini. Saya sendiri dilahirkan 12 tahun selepas kejadian tersebut. Kampung saya juga tidak jauh dari tempat kejadian. Tiap kali melalui jalan air dari Kampung Betanak ke Sibu, kami akan melalui kawasan tersebut, malah tiang paling tinggi kapal tersebut masih utuh dan boleh dilihat dipermukaan air… Saya sendiri tidak mengetahui apa sebenarnya yang belaku di sebalik tiang yang sentiasa menjadi tanda Tanya kepada saya sejak kecil… Ibu hanya mengatakan itu tiang kapal karam namun tidak menceritakan apa disebaliknya.. Sesungguhnya peristiwa ini sentiasa segar dalam memori setiap warga tua di negeri Sarawak terutama kepada ahli keluarga mangsa yang kehilangan saudara mereka.
Semoga
roh-roh mangsa dicucuri rahmat....Amin.
No comments:
Post a Comment